Tuesday 24 July 2012

Sunat latih kanak-kanak puasa

RAMADAN ialah sesi persekolahan dalam menghasilkan jiwa yang bertakwa. Ia juga satu kesempatan yang telah diberikan oleh Allah kepada ibu bapa dalam mendidik anak menjadi insan yang salih dan salihah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada neraka, sedangkan bahan bakarnya ialah manusia dan batu. Neraka itu dijaga oleh malaikat yang kasar dan keras. Mereka sama sekali tidak pernah durhaka pada Allah dan melaksanakan apa saja yang diperintahkan pada mereka.” – Surah Al-Tahrim (66), ayat 6. Banyak amalan yang boleh dipraktikkan mengikut petunjuk Rasul dalam mendidik anak pada Ramadan. Antara yang menjadi amalan ialah dengan mendidik anak yang kecil berpuasa. Hukum berpuasa bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz (iaitu tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk) ialah tidak sah puasanya. Manakala kanak-kanak yang sudah mumayyiz dikira sah puasa mereka apabila ia berniat puasa pada malam hari, walaupun puasa Ramadan itu tidak diwajibkan ke atasnya. Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum berpuasa pada Ramadan adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berakal dan baligh. Dengan demikian, kanak-kanak pada asalnya tidak wajib berpuasa kerana mereka belum baligh. (Abd Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala Mazhib al-arba’ah)